
PUTRAJAYA, 15 Julai – Kementerian Ekonomi mengumumkan pelantikan Siti Asiah Ahmad sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10, berkuat kuasa hari ini.
- Pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.
- Memulakan perkhidmatan sebagai perangkawan pada 1998 dan pernah Timbalan Ketua Perangkawan bagi Program Ekonomi.
- Struktur kepimpinan DOSM diperkukuh dengan pelantikan dua Timbalan Ketua Perangkawan; statistik rasmi pantas dan tepat ditekankan untuk menyokong tindakan kerajaan.
Siti Asiah, 51 tahun, mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.
Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Perangkawan pada 1998 dan sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Perangkawan bagi Program Ekonomi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerusi kenyataan berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, statistik rasmi yang pantas, tepat dan boleh dipercayai diperlukan bagi membantu kerajaan bertindak lebih awal serta melaksanakan intervensi yang lebih berkesan.
Sebelum ini, Siti Asiah menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar, perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.
Beliau turut terlibat dalam pembangunan pangkalan data utama, penyediaan statistik kos sara hidup dan pengukuhan sistem statistik negara.
Struktur kepimpinan DOSM turut diperkukuh menerusi pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Sosial dan Pembangunan Teknikal.
Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Ekonomi.