fb fb fb fb fb

Sistem PADU, kenal pasti kelayakan rakyat terima subsidi bersasar 

Foto BERNAMA

PAPAR, 31 Disember- Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan dilancarkan Selasa ini membolehkan kerajaan mengenal pasti rakyat yang benar-benar layak untuk menerima subsidi bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata sistem itu juga akan mengenal pasti pelbagai faktor lain antaranya bilangan tanggungan dan bukan hanya jumlah pendapatan atau tahap isi rumah sama ada B40, M40 atau T20.

Datuk Armizan berkata sistem PADU membolehkan kerajaan memastikan subsidi yang diberikan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, bukan diseleweng pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan.

"Penyasaran semula subsidi atau dasar subsidi bersasar ini bukanlah bermaksud bahawa subsidi ditarik sepenuhnya, tidak sama sekali. Subsidi untuk elemen atau sektor tertentu akan diteruskan dan ada juga subsidi yang akan disasarkan hanya melibatkan kumpulan atau komponen-komponen tertentu.

Selain itu, terdapat juga subsidi yang tidak diteruskan lagi tetapi akan diberikan timbal balik menerusi bantuan tunai kepada rakyat," kata Datuk Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar kepada pemberita selepas menghadiri Fun Hike Keluarga Samat di Bukit Bendera, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal meluncurkan PADU Selasa ini dan sistem itu akan dibuka selama tiga bulan untuk semua warganegara mengesahkan dan mengemas kini data sosioekonomi mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM