Sistem NIISe di LTAPP beroperasi sepenuhnya sebelum Tahun Baharu Cina

Wong Hon Wai

BAYAN LEPAS, 9 Januari – Pemasangan sistem pintu automatik baharu, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijangka beroperasi sepenuhnya sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, Februari depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemasangan sistem NIISe di LTAPP dijangka beroperasi sepenuhnya sebelum Tahun Baharu Cina.
  • Lima pintu automatik sudah dipasang; enam lagi sedang dipasang dan akan diuji pertengahan bulan ini.
  • Sistem memendekkan pemeriksaan imigresen kepada kira-kira enam saat setiap penumpang.
  • NIISe menyokong pasport atau MyNIISe dengan QR dan biometrik, akan dibuka kepada 63 negara.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, lima unit pintu automatik telah dipasang sebelum ini di kawasan pelepasan dan enam lagi sedang dipasang di balai ketibaan dan dijangka siap serta mula diuji pertengahan bulan ini sebelum beroperasi sepenuhnya.

Sistem baharu itu mampu memendekkan tempoh pemeriksaan imigresen kepada kira-kira enam saat bagi setiap penumpang, sekali gus melancarkan pergerakan di pintu masuk dan keluar negara.

“Pihak kontraktor ketika ini masih berada dalam fasa ujian dan perlu bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi melaksanakan pelaksanaan penuh sistem baharu berkenaan. Bagi ruang ketibaan antarabangsa pula, proses pemasangan masih sedang dijalankan.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merupakan lapangan terbang kedua yang melaksanakan sistem berkenaan dan pihaknya menjangkakan keseluruhan sistem itu dapat beroperasi sepenuhnya sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, melibatkan kedua-dua ruang pelepasan dan ketibaan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan sistem NIISe di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Ismail Mokhtar.

Sistem NIISe membolehkan pelepasan dilakukan sama ada menggunakan pasport atau melalui aplikasi MyNIISe dengan pengimbasan kod QR dan pengesahan biometrik, serta akan dibuka kepada 63 negara apabila beroperasi sepenuhnya.

Pelaksanaan sistem baharu itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan memandangkan LTAPP menerima jumlah pelancong asing lebih tinggi berbanding penumpang tempatan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan