‘Dirgahayu Cinta’ pamer keindahan koleksi peribadi Diraja Selangor

Datuk Borhan Aman Shah

SHAH ALAM, 9 Januari – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, diiringi Datin Paduka Seri Afzaa Fadini, berkenan merasmikan Pameran Khas bertemakan ‘Dirgahayu Cinta’ di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pameran mempamerkan koleksi peribadi Diraja Selangor untuk tatapan umum dan pemahaman lebih dekat.
  • Inisiatif Tengku Amir Shah bertujuan merapatkan hubungan Istana dengan rakyat serta mendokumentasi warisan Diraja.
  • Tema "Dirgahayu Cinta" melambangkan doa agar ikatan perkahwinan Diraja berkekalan, dipamerkan hingga 31 Mei.

Pameran itu diadakan bersempena dengan Istiadat Perkahwinan Diraja, Tengku Amir Shah bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.

Pada majlis berkenaan, baginda berdua turut berkenan menyaksikan pameran yang menampilkan pelbagai koleksi peribadi Diraja yang diperkenankan untuk dipamerkan kepada umum.

Exco Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pameran itu merupakan cetusan ilham Tengku Amir Shah dengan hasrat agar rakyat jelata dapat mendekati serta memahami dengan lebih dekat keindahan, kehalusan seni dan ketinggian adat istiadat Diraja Selangor, khususnya berkaitan Istiadat Perkahwinan Diraja.

“Pameran ini merupakan ilham Tuanku sendiri bagi mempamerkan adat istiadat penuh Majlis Persandingan Diraja untuk tatapan rakyat jelata, sekali gus bertujuan merapatkan hubungan antara pihak Istana dengan rakyat.

“Sehubungan itu, Tuanku telah memperkenankan agar pameran berkenaan diteruskan sehingga 31 Mei bagi memberi peluang kepada rakyat, khususnya di Selangor dan amnya seluruh rakyat Malaysia, menyaksikan sendiri kehalusan adat istiadat Majlis Persandingan Diraja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tema ‘Dirgahayu Cinta’ dipilih sebagai manifestasi doa dan harapan agar ikatan perkahwinan Diraja ini sentiasa bersemi, berkekalan dan mekar sepanjang hayat.

Pameran itu bukan sekadar memperagakan koleksi Diraja, malah menjadi wadah penghayatan terhadap nilai simbolik, kesantunan adat serta jati diri Negeri Selangor, di samping usaha penting dalam pendokumentasian dan pemeliharaan warisan Diraja untuk generasi akan datang.

Pameran Khas ‘Dirgahayu Cinta’ dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Mei ini, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Selangor serta pelawat dari dalam dan luar negara untuk menghayati keindahan adat istiadat Diraja Selangor secara tersusun dan berinformasi.