- Menjamin bekalan diesel stabil dan kawalan lebih rapi untuk kestabilan pasaran.
- Membantu mengekang tekanan inflasi jangka pendek melalui kawalan kos sektor pengangkutan.
- Mengurangkan ketirisan akibat penyeludupan diesel bersubsidi dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat.
- Menggesa mekanisme pemantauan adil, telus dan integrasi sistem digital menyeluruh bagi semua pihak berkepentingan.

KOTA KINABALU, 2 Mei – Peluasan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ke Sabah, Sarawak dan Labuan dilihat mampu memperkukuh pemantauan bekalan diesel secara lebih sistematik, sekali gus memastikan kestabilan pasaran.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Dr Jain Yassin berkata, antara objektif utama pelaksanaan sistem tersebut adalah untuk menjamin bekalan diesel kekal stabil serta berada di bawah kawalan yang lebih rapi.
Menurut beliau, langkah itu juga berpotensi mengekang tekanan inflasi dalam jangka pendek, khususnya melalui kawalan terhadap sektor pengangkutan yang merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan harga barangan.
“Pelaksanaan SKDS bertujuan memastikan kestabilan bekalan diesel. Walaupun mungkin terdapat kekangan atau ketidaksediaan daripada sesetengah pihak industri berikutan pemantauan yang lebih ketat, namun dari sudut ekonomi, usaha ini penting bagi menstabilkan bekalan serta memperkukuh kawalan,” katanya kepada RTM di sini.
Selain itu, pelaksanaan SKDS dijangka dapat mengurangkan ketirisan akibat aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi, di samping meningkatkan kecekapan operasi syarikat melalui penggunaan sistem digital yang lebih pantas dan efisien.
Dalam pada itu, Dr Jain turut mencadangkan agar kerajaan terus memperkukuh mekanisme pemantauan yang adil dan telus, serta memastikan integrasi sistem digital dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pihak berkepentingan.