
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Usaha mempergiat pelaksanaan sistem digital dalam sektor awam dilihat amat penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, selaras inisiatif kerajaan melalui MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2021.
- Pendigitalan sektor awam meningkatkan kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- Sistem digital dan portal e-Kerajaan memudahkan urusan seperti permohonan lesen, pemfailan cukai, dan notifikasi.
- Automasi proses mengurangkan kerja manual, birokrasi dan kos operasi kerajaan.
- Inisiatif digital menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan serta pembangunan persekitaran perkhidmatan lebih mesra pengguna.
Inisiatif berkenaan bertujuan menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh teknologi digital, selain memperkukuh tadbir urus serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Pensyarah Seksyen Kecerdasan Buatan (AI) Malaysian Institute of information Technology (MIIT) UniKL, Profesor Madya Dr. Mohammad Faizuddin Mohd Noor berkata langkah berkenaan turut memenuhi kehendak rakyat masa kini yang menuntut perkhidmatan lebih pantas dan mesra pengguna.
“Jika kita lihat portal e-Kerajaan membolehkan pelbagai urusan dilaksanakan dengan lebih cekap, antaranya pemberitahuan, permohonan lesen, pemfailan cukai serta proses perolehan. Pelaksanaan sistem ini menjadikan urusan lebih lancar, sekali gus mengurangkan karenah birokrasi serta kos operasi kerajaan.
“Seiring dengan perkembangan teknologi digital, kerajaan berkongsi dan menerapkan pelbagai kaedah bagi memudahkan proses pengesahan identiti tanpa memerlukan penggunaan dokumen fizikal,” katanya.
“Bagi memacu pengembangan ekonomi digital, pendigitalan sektor awam dilihat menyokong matlamat untuk menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2026. Usaha ini turut memberi penekanan kepada pembangunan yang lebih inklusif dan mampan, selain berperanan dalam menangani cabaran semasa,” jelasnya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, pelaksanaan sistem digital turut meningkatkan kecekapan melalui automasi proses kerja sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual.
Antaranya menerusi sistem e-Perolehan yang mempercepatkan proses perolehan kerajaan serta mengurangkan kos operasi.