
LABUAN, 4 Mei – Inisiatif Sinergi Pengangkutan Laut Labuan–Menumbok–Labuan dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik memperkukuh sistem pengangkutan laut yang lebih cekap, selamat dan bersepadu.
- MoU melibatkan LDA Labuan (Holdings) dan Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok bagi kerjasama operasi terminal feri dan pengusaha bot laju.
- Perkhidmatan bot laju ke Menumbok selepas jam 6 petang akan ditambah bagi memenuhi keperluan penduduk Labuan.
- Pelaksanaan MoU mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI menyediakan pengangkutan cekap, inklusif dan mampan bagi kesejahteraan rakyat serta pembangunan wilayah.
MoU tersebut melibatkan kerjasama antara LDA Labuan (Holdings) Sdn Bhd (LDAH), selaku operator Terminal Feri Antarabangsa Labuan, bersama Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok (PPBLM) yang mewakili pengusaha bot laju.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, inisiatif berkenaan amat penting bagi memastikan penduduk Labuan terus menikmati akses pengangkutan yang lebih baik ke tanah besar Sabah, khususnya pada waktu malam.
Menurut beliau, perkhidmatan bot laju ke Menumbok selepas pukul 6.00 petang akan ditambah bagi memenuhi keperluan penduduk pulau itu.
“Langkah ini penting untuk memastikan kemudahan perhubungan yang lebih menyeluruh, sekali gus menyokong mobiliti penduduk serta aktiviti ekonomi antara Labuan dan tanah besar Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC), petang semalam.
Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan sistem pengangkutan yang lebih cekap, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi wilayah.
Majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan wakil agensi Persekutuan dan Negeri di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.