Subsidi bahan api cecah RM6 bilion sebulan jika harga global meningkat

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan NRES/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 4 Mei – Kerajaan menanggung subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM5 bilion sebulan susulan peningkatan kos minyak mentah di pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri: subsidi boleh melebihi RM6 bilion sebulan jika harga minyak dan diesel global melonjak.
  • Penyelarasan subsidi melalui inisiatif BUDI95 dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan untuk ringankan beban kewangan.
  • Malaysia mengekalkan harga RON95 pada kadar rendah berbanding kebanyakan negara, antara yang terendah dunia kecuali Brunei.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbelanjaan subsidi ketika ini bergantung pada harga semasa dan boleh meningkat melebihi RM6 bilion sekiranya harga minyak global terus melonjak.

Dalam situasi ini, langkah penyelarasan subsidi menerusi inisiatif BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan adalah perlu bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Jika harga global minyak dan diesel melonjak tinggi, kos subsidi boleh melebihi RM6 bilion sebulan daripada paras semasa yang dianggarkan sekitar RM5 bilion sebulan.

“Ini bermakna dalam tempoh 10 bulan kerajaan perlu menanggung kira-kira RM50 bilion daripada dana awam,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun berdepan tekanan kos, Malaysia masih mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar rendah berbanding kebanyakan negara lain, malah antara yang terendah di dunia, kecuali Brunei.