SUBANG JAYA, 7 Disember- Cadangan pekerja asing gantian yang disuarakan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) akan dibincangkan dalam jawatankuasa bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata PRIMAS melalui cadangan itu berharap gantian dapat diberikan secara automatik, sekiranya pekerja asing asal tidak dapat menamatkan tempoh bekerja di negara ini.
"Apa yang telah diminta oleh pihak persatuan ialah pekerja gantian. Di mana pada dahulunya apabila mereka telah mendapat satu kelulusan untuk membawa pekerja asing untuk tempoh tertentu dan jika kerana sebab-sebab tertentu, pekerja itu tidak dapat menghabiskan tempoh tersebut," katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-23 PRIMAS di sini.
Jelasnya, sesetengah pekerja asing dihantar pulang ke negara asal atas beberapa sebab tertentu, menyebabkan masalah kekurangan tenaga kerja.
Oleh itu, PRIMAS berharap kuota dapat diberikan untuk membawa seorang pekerja baharu.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata kementeriannya memandang serius serta memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan sindiket pekerja asing di negara ini.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan atau pihak terlibat yang membawa masuk pekerja asing dari mana-mana sumber tanpa pekerjaan.
Beliau juga mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk menangani isu ini agar imej negara tidak terjejas.