KOTA KINABALU, 21 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak 14 jenis barangan tersenarai dalam SHMMP antaranya daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (China dan Indonesia), cili serta bawang merah.
Beliau berkata, SHMMP Krismas 2023 dikawal melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, sekali gus membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
"Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksana pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di pasar awam, pasar tani dan pasar raya," katanya pada sidang media selepas program Jualan Rahmah, di sini.
Tegas Armizan, tindakan tegas akan dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah AKHAP 2011.
Barangan lain yang dikawal harga ialah tomato, lada benggala hijau, lobak merah, ubi kentang import (China), bawang kuning besar, ayam tua hidup dan kepak ayam.
Selain, Babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga gula, Armizan berkata harga gula mentah yang tinggi di pasaran antarabangsa, merupakan antara punca gangguan bekalan gula di Sabah serta beberapa kawasan di negara ini.