
GURUN, 15 Mac – Seramai 183 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah ditugaskan di lokasi strategik sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026.
- SHMMP dilaksanakan sehingga 28 Mac untuk pemantauan dan penguatkuasaan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah.
- Skim melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika dan memastikan pematuhan harga kawalan terhadap 23 jenis barangan di Kedah.
- Peniaga mesti letak tanda harga merah jambu; kegagalan boleh dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah. KPDN bekerjasama KPKM.
Skim berkenaan berkuat kuasa bermula semalam hingga 28 Mac ini bagi memastikan pemantauan serta penguatkuasaan dijalankan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah yang menjual barangan keperluan perayaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kedah, Zalina Aziz berkata langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika selain memastikan peniaga mematuhi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2026 kali ini bersesuaian dengan keadaan semasa kerana mampu mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan manakala peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.
Beliau berkata KPDN mengenal pasti sebanyak 27 jenis barangan yang dikawal di bawah skim berkenaan, namun hanya 23 daripadanya terlibat di negeri Kedah.
Antara barangan yang dikawal ialah daging kerbau import, daging lembu tempatan, ikan kembung, ikan selayang, kubis bulat, sawi hijau, timun, tomato, cili merah dan kacang panjang.
Zalina turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan sepanjang tempoh skim berkenaan.
Katanya kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan peniaga dikenakan tindakan kompaun atau didakwa di mahkamah.
Beliau ditemui pemberita sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 peringkat negeri Kedah di sini.
Dalam pada itu, KPDN turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.