
SEPANG, 21 Mei – Kesemua 428 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel di perairan antarabangsa telah dibebaskan.
- Pembebasan susulan tekanan antarabangsa termasuk ancaman ekonomi, diplomatik, tindakan perundangan dan nota diplomatik terhadap rejim Israel.
- Aktivis Malaysia antara terawal dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan kerajaan Malaysia bersama Turkiye.
- Mereka dipindahkan ke Lapangan Terbang Ramon, dijangka ke Istanbul dengan tiga penerbangan khas Turkish Airlines dan diperiksa kesihatan di Turkiye.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua mereka dibebaskan tanpa sebarang syarat.
Pembebasan itu susulan tekanan antarabangsa termasuk ancaman ekonomi, diplomatik, tindakan perundangan serta nota diplomatik daripada pelbagai negara yang memaksa rejim Israel membebaskan tahanan, walaupun pada awalnya merancang menahan mereka lebih lama.
Menurut beliau, aktivis Malaysia antara kumpulan terawal dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan kerajaan Malaysia bersama pihak negara luar, khususnya Turkiye.
“Laporan terkini daripada ADALAH memaklumkan kesemua aktivis sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon sebelum dijangka berlepas ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan khas tajaan Kerajaan Turkiye.
“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines dijangka berlepas sekitar pukul 8 malam waktu Malaysia dan dijangka tiba di Istanbul pada pukul 10 malam.
“Delegasi Malaysia juga dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Turkiye susulan laporan terdapat tahanan yang dipukul serta mengalami kecederaan fizikal ketika ditahan,” katanya dalam sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini, hari ini.
Delegasi Malaysia dijangka berlepas pulang ke tanah air pada 23 Mei dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 24 Mei (Ahad).