
SEPANG, 21 Mei – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berjaya mencapai matlamatnya apabila dapat membuka mata antarabangsa mengenai jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel.
- Penahanan dan penculikan aktivis flotila mencetuskan tekanan dan kemarahan antarabangsa terhadap rejim Zionis.
- OIC, PBB dan EU secara rasmi mengecam pencerobohan serta penculikan terhadap aktivis flotila di perairan antarabangsa.
- Hubungan rapat Malaysia dan Turkiye serta usaha diplomatik kerajaan mempercepatkan pemulangan dan memastikan keselamatan 29 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kejayaan itu dapat dilihat menerusi tekanan antarabangsa yang semakin memuncak terhadap rejim Zionis, susulan tindakan penahanan dan penculikan secara kejam aktivis flotila kemanusiaan.
“Insiden penahanan dan penculikan ini telah mencetuskan kemarahan antarabangsa yang diterjemahkan melalui kenyataan rasmi negara, saman serta demonstrasi di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.
“Malah, organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis flotila kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya dalam sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini, hari ini.
Menurutnya, hubungan rapat antara Kerajaan Malaysia dengan Turkiye memainkan peranan penting dalam usaha membawa pulang aktivis negara serta jaminan keselamatan terhadap mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas usaha diplomatik yang digerakkan secara agresif bagi memastikan keselamatan delegasi Malaysia sepanjang pelayaran.
“SNCC mewakili ahli keluarga, delegasi, sekretariat serta rakyat Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Menteri Luar, Menteri Komunikasi, Menteri Besar Selangor serta Kerajaan Malaysia atas komitmen berterusan dalam menggembleng saluran diplomatik antarabangsa secara strategik dan berkesan.
“Usaha tersebut penting bagi memastikan proses membawa keluar kesemua 29 rakyat Malaysia dapat disegerakan dengan selamat dan teratur,” katanya.