fb fb fb fb fb

Selangor peruntuk RM1 juta bina rumah Orang Asli- Exco

V Papparaidu (empat, kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci Bagi Program Bina Baru Rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Pertak di sini pada Ahad.

HULU SELANGOR, 24 Jun- Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan rumah baharu Orang Asli di empat daerah di negeri itu , tahun ini.

Exco Hal Ehwal Orang Asli, V Papparaidu berkata, peruntukan itu untuk pembinaan 13 rumah baharu di daerah Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

Menurutnya, daripada 13 rumah berkenaan enam daripadanya sudah diserahkan kepada pemilik manakala bakinya masih dalam proses pembinaan dan kunci akan diserahkan hujung tahun ini.

"Ini melibatkan satu program di bawah portfolio saya untuk membantu Orang Asli di Selangor dan sedikit sebanyak setiap tahun kita ada bajet RM1.1 juta. Kali ini kita telah siap sejumlah 13 rumah dan mungkin pada tahun-tahun akan datang kita juga akan menyambungkan program ini.

“Tujuan kita membina rumah penduduk Orang Asli ini bagi menjamin bahawa mereka juga boleh memiliki kediaman selamat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Bagi Program Bina Baru Rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Pertak di sini pada Ahad.

Menurut Papparaidu, inisiatif ini turut mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan Orang Asli.

Beliau berkata rumah berkenaan memiliki dua kategori iaitu dua bilik dan dua bilik air serta tiga bilik dan dua bilik air dengan anggaran harga bermula RM55,000 hingga RM85,000.

“Jumlahnya berbeza kerana mengambil kira beberapa aspek seperti akses ke rumah yang jalannya agak berliku jauh ke dalam hutan yang membabitkan kos tinggi.

“Bagaimanapun, program ini tidak terhenti setakat ini sahaja sebaliknya kita akan terus membantu bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dengan arus pemodenan dan sentiasa disantuni,” ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI