fb fb fb fb fb

Seksyen 1 Lebuhraya WCE dibuka secara rasmi

Ketua Operasi WCE, Ir Syed Muhd Naguib Syed Mohd / Foto RTM

BANTING, 31 Ogos - Seksyen 1 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) secara rasminya  dibuka kepada pengguna, tengah malam tadi.

Ketua Operasi WCE, Ir Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata jajaran sepanjang 12.5 kilometer itu merupakan sebahagian daripada projek lebuh raya yang menghubungkan Changkat Jering ke Banting dengan panjang keseluruhan 314.5 kilometer.

“Tepat pukul 12.01 pagi 31 Ogos, kita telah membuka Lebuhraya WCE Seksyen 1 bermula dari Persimpangan Banting hingga ke Persimpangan SKVE dengan panjang 12.5 kilometer.

"Sebagai simbolik sambutan hari kebangsaan, kita telah mengedarkan sebanyak 67 Jalur Gemilang kepada pengguna-pengguna lebuh raya yang pertama kali memasuki WCE Seksyen 1,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Rasmi Plaza Tol WCE Banting dan pemberian Jalur Gemilang, di sini awal pagi tadi.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembinaan Lebuhraya WCE merupakan infrastruktur penting kepada negara, terutama di persimpangan bertingkat Lebuhraya SKVE kerana membuka lebih banyak akses kepada pergerakan pengangkutan dari Pelabuhan Klang ke kawasan aktiviti ekonomi.

Sempena pembukaan jajaran tersebut, tol percuma turut diberikan sehingga 29 September ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN