PUTRAJAYA, 30 April - Sekolah dibenar untuk ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Kebenaran penutupan itu berkuat kuasa serta merta bermula 28 April lalu untuk semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut pekeliling dikeluarkan KPM yang ditandangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili, arahan itu juga terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM jika kawasan mereka diisytiharkan terkesan mengalami gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut," katanya.
Menurut pekeliling sama, pentadbir juga perlu memastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan murid bagi mengelak sebarang risiko berkaitan strok haba berlaku serta penyakit lain.
Sebelum ini, KPM dalam kenyataan berasingan memaklumkan Institusi di bawah KPM diarah menghentikan aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Susulan itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM diarah melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.