
KOTA TINGGI, 14 November– Empat sekolah di daerah ini menerima manfaat menerusi Program Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana pendidikan.
- Program memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia dan komuniti setempat.
- Inisiatif meningkatkan kesedaran rakyat tentang tanggungjawab mempertahankan negara dan literasi pertahanan.
- Ancaman keselamatan kini bukan hanya peperangan tradisional; juga melalui teknologi komunikasi dan penguasaan minda.
- SK Panchor dan SK Sedili Kecil dipilih tahun ini; setiap sekolah menerima peruntukan RM100,000 untuk naik taraf.
Program itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat setempat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif berkenaan turut menjadi medium meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab mempertahankan negara serta kepentingan literasi pertahanan.
Beliau berkata ancaman keselamatan masa kini tidak lagi terhad kepada bentuk peperangan konvensional, sebaliknya boleh berlaku menerusi pelbagai saluran termasuk teknologi komunikasi dan penguasaan minda.
“Usaha ini adalah untuk menyedarkan rakyat mengenai peranan mereka dalam mempertahankan negara serta menjayakan literasi pertahanan, iaitu memastikan rakyat memahami dan celik pertahanan.
“Hari ini ancaman tidak lagi dalam bentuk tradisional atau peperangan menggunakan senjata, sebaliknya boleh datang melalui pelbagai cara termasuk telefon dan penguasaan minda,” katanya.
Bagi pelaksanaan tahun ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor dan SK Sedili Kecil dipilih sebagai sekolah angkat, manakala dua sekolah lain telah menerima manfaat menerusi program berkenaan tahun lepas.
Setiap sekolah menerima peruntukan RM100,000 bagi melaksanakan kerja naik taraf dan penambahbaikan kemudahan mengikut keperluan masing-masing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat MADANI di SK Panchor, di sini.