
JOHOR BAHRU, 18 Mei – Indeks Pemerkasaan Pengguna ketika ini berada pada tahap 63 peratus, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan peningkatan kepada 70 peratus menerusi pelbagai program berterusan.
- Perkukuh penglibatan gerakan pengguna, NGO dan komuniti setempat untuk pemerkasaan pengguna.
- Gerakan pengguna digalakkan memainkan peranan aktif menjadi pengguna bijak dan berdaya saing, memahami hak serta tanggungjawab.
- Pengguna perlu menjadi mata dan telinga kerajaan, menyalurkan maklumat salah laku, terutamanya isu harga semasa cabaran ekonomi.
- Laksanakan Dasar Pengguna Negara 2.0 secara menyeluruh dalam komuniti untuk memperkukuh kesedaran dan perlindungan pengguna di seluruh negara.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, usaha berkenaan akan diperkukuh melalui penglibatan gerakan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
Sehubungan itu, gerakan pengguna disaran memainkan peranan lebih aktif bagi memperkasa masyarakat, menjadi pengguna bijak, berdaya saing serta memahami hak dan tanggungjawab mereka dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurut beliau, pengguna juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan salah laku, khususnya melibatkan isu harga barang ketika berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik semasa.
“Pengguna boleh membantu kerajaan menangani isu seperti pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi mencabar ini dengan menyalurkan maklumat melalui NGO dan gerakan pengguna,” katanya.
Beliau berucap pada Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Dasar Pengguna Negara 2.0 perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam komuniti bagi memperkukuh kesedaran serta perlindungan pengguna di seluruh negara.