
SHAH ALAM,18 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memuktamadkan kod keselamatan bagi menyediakan ruang digital yang lebih selamat dengan pelaksanaannya dijangka bulan depan.
- Kod keselamatan membolehkan kandungan tidak selamat disekat dan diturunkan segera.
- Ancaman dalam talian meningkat dengan internet berkelajuan tinggi; fokus utama bahan eksploitasi seksual kanak-kanak.
- Kecerdasan buatan seperti Grok memudahkan penghasilan dan penyebaran bahan berbahaya termasuk imej intim tanpa persetujuan.
- Perlu lebih penyertaan wanita dalam ICT dan AI supaya mereka menjadi arkitek teknologi dan meningkatkan keselamatan siber.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, kod keselamatan itu membolehkan kandungan yang mempunyai unsur tidak selamat disekat dan diturunkan dengan segera.
“Kadar keterhubungan kita semakin meningkat dengan adanya internet kelajuan tinggi, namun kita juga perlu lebih berhati-hati terhadap pelbagai ancaman dalam talian.
“Salah satunya yang sememangnya diberi perhatian serius ialah bahan eksploitasi seksual kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya lagi, bahan seperti itu sangat mudah dihasilkan dan disebarkan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) seperti Grok.
“Bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act), bahan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan antara kandungan berbahaya yang perlu disekat akses serta diturunkan daripada platform dengan segera.”
Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 152 kes melibatkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak telah direkodkan pada 2025.
Manakala, bagi tempoh Januari lepas hingga kini, sebanyak 100 kes telah direkodkan.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) dan program Girls in ICT (GIST), hari ini.
Teo turut menekankan perlunya lebih banyak penglibatan wanita dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa aspek keselamatan ruang siber.
“Apabila wujud fungsi seperti ‘undressing’ yang digunakan untuk menghasilkan imej intim tanpa persetujuan, saya fikir ia menjadi satu gangguan besar khususnya kepada remaja perempuan dan wanita.
“Sebab itu kita memerlukan lebih banyak penyertaan wanita dalam bidang ICT, kerana wanita bukan sekadar perlu menjadi pengguna teknologi, tetapi juga perlu menjadi arkitek kepada AI dan teknologi itu sendiri.”