
DUNGUN, 18 Mei– Kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur terus diperkukuh menerusi pelancaran Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Santong yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 isi rumah di kawasan berkenaan.
- Projek BESS 100 MW bersamaan 400 MWh antara fasiliti penyimpanan tenaga terbesar negara, memperkukuh kestabilan grid selaras NETR.
- Berfungsi menyimpan lebihan tenaga dan menyalurkannya semula ke grid apabila diperlukan, menyokong integrasi tenaga boleh baharu dan mengurangkan gangguan bekalan.
- Projek siap dalam 309 hari, mula beroperasi 17 April; projek BESS serupa turut dibangunkan di Lahad Datu, Sabah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh kestabilan grid tenaga negara selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau berkata penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar memerlukan sistem sokongan bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan konsisten.
“Kita masih ada sumber gas dalaman, tetapi masih tidak mencukupi. Kita perlu mencari campuran tenaga lain. Hidro di Semenanjung mungkin tidak mencukupi, begitu juga biojisim yang masih tidak mencukupi kecuali kita benar-benar memberi tumpuan untuk memastikan kita boleh menghasilkan biojisim bagi tujuan co-firing dengan sumber sedia ada supaya ia lebih mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek BESS Santong milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Paka di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Shamsul Ahmad.
Projek berkapasiti 100 megawatt bersamaan 400 megawatt sejam itu merupakan antara kemudahan penyimpanan tenaga terbesar negara.
TNB memaklumkan BESS Santong berfungsi menyimpan lebihan tenaga sebelum disalurkan semula ke grid apabila diperlukan, sekali gus menyokong integrasi tenaga boleh baharu dan mengurangkan risiko gangguan bekalan.
Projek itu disiapkan dalam tempoh 309 hari dan mula beroperasi pada 17 April lalu. Selain Terengganu, projek BESS berkapasiti sama turut dibangunkan di Lahad Datu, Sabah.