
KUALA LUMPUR, 18 Mei- Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi memisahkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya di Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.
- Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen, iaitu 148 daripada 222 kerusi.
- Kerajaan berharap mendapat sokongan rentas parti untuk memastikan kelulusan pindaan Perlembagaan itu.
- Azalina berharap pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi pindaan bersejarah; keputusan politik dibuat selepas proses Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen, iaitu 148 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Beliau berkata kerajaan berharap cadangan berkenaan mendapat sokongan rentas parti bagi memastikan kelulusan pindaan Perlembagaan itu.
“Saya berharap apabila kita membawa pindaan ini, ia akan menjadi pindaan bersejarah kepada negara. Sejak kemerdekaan, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak pernah dipisahkan, dan kali ini kita mahu melaksanakan pemisahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) dwipartisan berkaitan RUU berkenaan.
Ditanya mengenai komitmen Ahli Parlimen dalam PSSC, beliau berkata sebarang keputusan politik perlu dibuat selepas proses di Parlimen selesai.
“Saya berharap keputusan oleh kepimpinan parti dibuat selepas sidang Parlimen, selepas pindaan Perlembagaan ini diluluskan, bukan sebelum itu,” katanya.