
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok, berjaya menawan puncak Gunung Everest setinggi 8,848.86 meter dalam ekspedisi musim bunga 2026 yang dianjurkan syarikat pendakian antarabangsa, Altipro Adventures awal pagi tadi.
- Kejayaan diumumkan menerusi hantaran Facebook selepas kumpulan tiba puncak pada pukul 2.25 pagi waktu tempatan Nepal.
- Mohd Khafiz menamatkan pendakian bersama Munkhuu Myagmar serta Sherpa Mingma Dorchi dan Karma Gyalje.
- Sebelum ini Mohd Khafiz menawan K2 di Pakistan dan Gunung Manaslu di Nepal.
- Kejayaan hasil persiapan rapi, latihan altitud, strategi cuaca, kerjasama pasukan dan penghargaan terhadap keberanian pasukan Sherpa.
Kejayaan itu diumumkan syarikat berkenaan menerusi hantaran di Facebook selepas kumpulan pendaki berkenaan selamat tiba di puncak gunung tersebut pada pukul 2.25 pagi waktu tempatan Nepal.
Mohd Khafiz menamatkan pendakian bersama pendaki Mongolia, Munkhuu Myagmar serta dua malim gunung dari Nepal iaitu Mingma Dorchi Sherpa dan Karma Gyalje Sherpa.
Menurut hantaran itu, kejayaan berkenaan merupakan pencapaian penting bagi musim pertama ekspedisi Everest anjuran syarikat tersebut sejak penubuhannya.

Selain kumpulan Mohd Khafiz, satu lagi kumpulan pendaki turut berjaya menawan Everest pada pukul 2.35 pagi waktu tempatan, melibatkan Jennifer Claire Willis dari Australia bersama tiga Sherpa Nepal iaitu Phunjo Jangmu Lama, Mingma Nurbu Sherpa dan Pastenji Sherpa.
Kejayaan ekspedisi itu adalah hasil persiapan rapi selama beberapa bulan termasuk latihan penyesuaian altitud, perancangan laluan, strategi cuaca serta kerjasama erat antara pendaki dan pasukan sokongan.
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pendaki dan pasukan Sherpa atas ketahanan mental, keberanian serta kepakaran tinggi dalam menghadapi cabaran pendakian di altitud tinggi Himalaya,” menurut kenyataan itu.
Kesemua pendaki kini dalam proses turun semula ke Kem Pangkalan Everest.
Sebelum ini, Mohd Khafiz turut mencipta kejayaan apabila menawan Gunung K2 di Pakistan (8,611 meter), gunung kedua tertinggi dunia, serta Gunung Manaslu di Nepal (8,163 meter).