fb fb fb fb fb

Sanusi hadir ke SPRM, beri keterangan siasatan kes rasuah KFA

Foto Hiasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Januari - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berada kira-kira tiga jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM itu pada 11.37 pagi setelah tiba pada 8.30 pagi, namun gagal ditemui media yang menunggu di luar pagar bangunan itu.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata kehadiran Sanusi untuk memberi keterangan adalah sebahagian daripada proses melengkapkan siasatan yang kini berada di peringkat akhir

"Butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada Selasa lepas, SPRM mengesahkan akan memanggil Muhammad Sanusi bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan KFA.

SPRM menjalankan siasatan tersebut selepas pihaknya menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan projek-projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

Pada 5 Januari lepas, SPRM mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap empat  individu berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta pada 2020.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI