fb fb fb fb fb

Sandakan dilanda banjir, jumlah penduduk terjejas berkurangan di negeri lain

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Daerah Sandakan di Sabah mula dilanda banjir malam tadi, manakala jumlah penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan dan Perak hanya melibatkan satu keluarga, setakat pagi ini.

Di Sabah, sebanyak 59 orang daripada 24 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pertanian, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah penduduk terjejas yang dipindahkan tidak berubah pada pagi ini.

Di Sarawak, JPBN melaporkan setakat pukul 8.00 pagi ini, jumlah mangsa berkurangan kepada 132 orang daripada 61 keluarga berbanding 141 orang daripada 65 keluarga petang semalam.

Mereka masih berlindung di tiga PPS di Miri susulan banjir serta tanah runtuh melibatkan lima penduduk terjejas daripada satu keluarga di PPS SK Angus, PPS SK Suai Niah (119 mangsa daripada 57 keluarga) dan PPS Dewan Bulan Sabit Merah (empat penduduk terjejas daripada dua keluarga).

Di Perak, hanya terdapat satu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang masih menempatkan penduduk terjejas banjir di Hilir Perak membabitkan empat mangsa daripada satu keluarga, setakat pagi ini. -BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM