fb fb fb fb fb

Saifuddin sahkan belum menerima permohonan semakan hukuman mati Sirul

PUTRAJAYA, 26 November - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan belum menerima permohonan daripada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar untuk membuat semakan hukuman mati terhadapnya.

Saifuddin berkata untuk setakat ini permohonan yang diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya melibatkan Azila Hadri yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

"Belum ada maklumat apa-apa (mengenai Sirul). Yang saya boleh sahkan cuma Azilah.

“Azilah yang tinggal di Penjara Sungai Buloh termasuk dalam kumpulan 900 pertama yang memohon semakan berkait hukuman. Sabitan kekal, (hanya) hukuman itu yang mereka minta untuk Mahkamah Persekutuan semak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan Sirul dibayar RM1 juta daripada seseorang sebagai tanda untuk menutup mulut, Saifuddin berkata hanya Sirul mengetahui perkara itu.

"Saya tidak mahu beri komen bab itu. Yang jelas, seperti rakan-rakan media, saya juga mengikuti sebagai satu kenyataan terkini daripada Sirul," katanya.

Dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Sirul Azhar mendakwa dijadikan kambing hitam yang mana dia mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia.

Media sebelum ini melaporkan tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia.

Ini susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 864) pada 4 Julai lalu.

Dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sirul Azhar dibebaskan Mahkamah Tinggi Australia

Sirul Azhar boleh mohon semakan sabitan hukuman mati - Saifuddin Nasution

Australia tidak akan ekstradisi Sirul Azhar - Ketua Polis Negara

Najib nafi dakwaan Sirul dalam wawancara dengan Al Jazeera

 

GRACE AISYAH KEDAYAN