fb fb fb fb fb

Australia tidak akan ekstradisi Sirul Azhar - Ketua Polis Negara

Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 14 November- Australia dijangka tidak akan bekerjasama dengan Malaysia dalam urusan mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar yang disabit hukuman gantung mandatori atas kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu pada 2006.

Ini kerana panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah Hadri selepas membenarkan rayuan pendakwaan pada 13 Januari 2015.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, apa yang dapat dilihat ketika ini adalah pihak berkuasa Australia tidak akan memberi kerjasama kepada Malaysia sekiranya hukuman gantung mandatori terhadap Sirul Azhar masih berkuat kuasa.

"Kita perlu melihat daripada 'dual criminality' maksudnya kesalahan yang berlaku di Malaysia dan kesalahan itu juga ada di Australia serta hukumannya mesti sama.

"(Contohnya) kalau di sana dihukum penjara seumur hidup... di negara kita pula penjara sepanjang hayat (baru boleh ekstradisi).

"Tetapi dalam kes Sirul Azhar ini, hukuman gantung di sana tiada tetapi di sini ada hukuman gantung. Di sini (Malaysia) hukuman berkenaan (gantung) dimansuhkan atas mandatori bunuh sahaja, maksudnya hukuman (gantung) itu masih ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di sini.

Razarudin juga percaya Peguam Negara akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Australia dalam proses membawa pulang Sirul Azhar.

Dalam perkembangan lain, beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap anggota polis yang terlibat dengan salah laku.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tangkapan ke atas tiga anggota polis yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di ibu negara yang disyaki terlibat mengurung dan memeras wang daripada seorang lelaki warga asing.

Razarudin memberi jaminan bahawa kes itu akan disiasat secara telus.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian penculikan lelaki warga Bangladesh yang juga wartawan media antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:
Sirul Azhar boleh mohon semakan sabitan hukuman mati - Saifuddin Nasution
Sirul Azhar dibebaskan Mahkamah Tinggi Australia

SITI AISHAH BINTI MD ISA