KUCHING, 26 November - Pemaju perumahan serta hartanah diminta mengambil berat terhadap keperluan kerajaan dalam mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri yang mengiktiraf kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata walaupun pada peringkat permulaan, pembangunan projek berkonsepkan bangunan hijau memerlukan pelaburan agak tinggi, namun dalam jangka masa panjang pemaju dijamin memperoleh keuntungan.
Menurut beliau, langkah tersebut sekali gus bakal memberi faedah kepada Sarawak dalam pertumbuhan ekonomi hijau.
Datuk Patinggi Abang Johari turut menasihati para pemaju untuk mematuhi Ekonomi, Sosial dan Tadbir, (ESG) dalam setiap pelaksanaan aktiviti ekonomi ke arah memastikan industri perumahan terus berkembang maju.
"Gagal mematuhi ESG, akan menjejaskan projek yang bakal dilaksanakan memandangkan institusi perbankan tidak akan memihak kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Cemerlang Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam semalam.
Pada majlis itu, arkitek terkenal Teo Ah Khing diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh SHEDA.
Dalam pada itu, Premier turut menyatakan penghargaan kepada SHEDA kerana telah bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak serta memahami dasar-dasar kerajaan.
Sebagai ketua kerajaan, beliau akan terus mencari alternatif untuk merangsangkan industri perumahan di Sarawak.
Ia bukan hanya untuk pembeli tempatan tetapi juga untuk pembeli luar yang mahu melabur dalam pembelian rumah di negeri ini.