
SAUDARA PENGARANG
- Industri penjagaan perlu diurus sebagai ekosistem profesional dengan latihan, kawal selia, dan jaminan kualiti.
- Penjagaan melibatkan kitaran hidup; persediaan mesti dirancang pada peringkat masyarakat dan negara.
- Kos penjagaan termasuk masa dan emosi; tanpa sokongan, produktiviti dan kesejahteraan keluarga terjejas.
- Penjawat penjagaan mesti dimartabatkan, dan pembiayaan mampan diperlukan supaya keluarga tidak jatuh ke dalam kemiskinan.
Malaysia sedang bergerak ke arah struktur penduduk yang semakin menua. Perubahan demografi ini bukan isu masa depan yang jauh, sebaliknya sedang berlaku secara beransur dan kesannya mula dirasai pada tahap keluarga, komuniti, pasaran pekerjaan dan sistem kesihatan.
Apabila bilangan warga emas meningkat dan jangka hayat bertambah, keperluan penjagaan juga meningkat. Dalam masa yang sama, corak kehidupan moden berubah, keluarga semakin kecil, mobiliti kerja tinggi, dan ramai pasangan bekerja sepenuh masa. Gabungan faktor ini menjadikan penjagaan satu agenda besar yang tidak lagi boleh diletakkan sebagai urusan peribadi semata-mata.
Di sinilah muncul konsep industri penjagaan atau care economy. Istilah ini penting kerana ia mengubah cara kita melihat penjagaan. Penjagaan bukan hanya kerja domestik, bukan hanya isu kebajikan, dan bukan hanya beban keluarga. Penjagaan ialah komponen ekonomi yang mempengaruhi produktiviti, penyertaan tenaga kerja, kos kesihatan jangka panjang, serta kestabilan sosial.
Negara yang menuju masyarakat menua memerlukan ekosistem penjagaan yang jelas, tersusun dan mampan, kerana tanpa ekosistem tersebut, kos penjagaan akan dipindahkan kepada keluarga secara senyap dan akhirnya memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
Ekonomi Penjagaan, Mengapa Disebut “Industri Baharu”
Industri penjagaan merujuk kepada keseluruhan rangka kerja dan aktiviti yang memastikan individu menerima penjagaan apabila diperlukan. Ia merangkumi penjagaan warga emas, penjagaan orang kurang upaya, penjagaan pesakit kronik, penjagaan individu dalam tempoh pemulihan, serta penjagaan awal kanak-kanak.
Dalam konteks ekonomi, industri penjagaan merangkumi penjaga keluarga yang tidak bergaji, tenaga kerja penjagaan profesional, pusat jagaan harian, penjagaan di rumah, perkhidmatan rehabilitasi, sokongan komuniti, peranan sistem kesihatan, teknologi bantuan, polisi tempat kerja yang mesra caregiver, dan juga kaedah pembiayaan agar kos penjagaan tidak menolak keluarga ke arah krisis kewangan.
Ia disebut “industri baharu” bukan kerana mahu mengkomersialkan kasih sayang, tetapi kerana realiti semasa menuntut penjagaan diurus sebagai satu ekosistem profesional. Ini termasuk standard latihan, kawal selia, jaminan kualiti, perlindungan pekerjaan, dan struktur perkhidmatan yang boleh dicapai oleh rakyat.
Tanpa struktur yang profesional dan tersusun, penjagaan akan terus bergantung kepada pengorbanan individu yang akhirnya menanggung beban melampau, dan sektor penjagaan pula berkembang tanpa piawaian yang jelas, sekali gus mewujudkan risiko kepada keluarga serta penerima penjagaan.
Bukan Isu Pinggiran, Sebaliknya Isu Kitaran Hidup
Industri penjagaan bukan isu yang hanya menyentuh warga emas. Ia isu yang mengikuti kitaran hidup. Dalam satu keluarga, penjagaan boleh hadir pada pelbagai fasa, sama ada melalui pengasuhan anak kecil, sokongan kepada ahli keluarga kurang upaya, pemantauan pesakit kronik, atau penjagaan warga emas.
Oleh sebab itu, industri penjagaan menyentuh hampir semua keluarga, cuma waktunya berbeza. Kesedaran ini penting kerana ia mengubah penjagaan daripada topik khusus kepada topik arus perdana.
Jika penjagaan adalah sesuatu yang hampir semua keluarga akan lalui, maka persediaannya juga mesti dirancang pada tahap masyarakat dan negara, bukan diserahkan kepada keluarga untuk “menyelesaikan sendiri” apabila keadaan menjadi mendesak.
Kos Penjagaan Tidak Kelihatan
Dalam banyak perbincangan, kos penjagaan sering dikira melalui perbelanjaan yang jelas seperti ubat, rawatan, pengangkutan, alat bantuan, yuran pusat jagaan, atau bil hospital. Namun penjagaan mempunyai dua kos besar yang jarang masuk dalam kiraan rasmi, iaitu kos masa dan kos emosi.
Kos masa bermaksud masa yang digunakan untuk penjagaan akan mengurangkan masa untuk bekerja, berehat, dan mengurus kehidupan harian yang lain. Penjagaan lazimnya tidak berlaku sekali-sekala, tetapi memerlukan konsistensi, pemantauan dan pengulangan tugasan.
Apabila masa penjagaan meningkat, sebahagian individu terpaksa mengurangkan jam kerja, menolak tugasan tambahan, atau dalam keadaan tertentu berhenti kerja. Dalam ekonomi, kehilangan masa kerja dan kehilangan penyertaan tenaga kerja memberi kesan kepada produktiviti dan pendapatan isi rumah, serta mengurangkan jumlah tenaga kerja yang aktif.
Kesan ini tidak berlaku sebagai ledakan mendadak, sebaliknya terkumpul secara perlahan melalui penurunan fokus, cuti kecemasan, prestasi kerja yang terganggu, dan keletihan yang berpanjangan.
Kos emosi pula berkait dengan tekanan mental yang datang bersama penjagaan. Penjaga keluarga berdepan ketidaktentuan, konflik peranan, dan keletihan psikologi. Apabila beban emosi ini tidak disokong, risiko burnout meningkat.
Burnout bukan sekadar isu peribadi, kerana ia memberi kesan kepada kualiti penjagaan, kesihatan penjaga, kestabilan keluarga, dan akhirnya sistem sosial. Oleh sebab itulah industri penjagaan yang matang bukan hanya menyediakan perkhidmatan, tetapi menyediakan struktur sokongan yang memahami realiti emosi caregiver.
Produktiviti dan Kaitan Jarang Disebut
Malaysia tidak boleh bercakap tentang produktiviti tanpa bercakap tentang penjagaan. Produktiviti bukan hanya bergantung pada latihan, teknologi, atau disiplin pekerja. Produktiviti juga bergantung pada kestabilan kehidupan.
Apabila penjagaan tidak disokong, ramai pekerja berfungsi dalam keadaan mental yang terpecah antara kerja dan tanggungjawab di rumah. Organisasi mungkin melihat kehadiran pekerja, tetapi tidak melihat kapasiti mental yang menurun. Negara mungkin melihat statistik guna tenaga, tetapi tidak melihat tekanan yang tersembunyi.
Sebaliknya, apabila sistem penjagaan lebih tersusun, tenaga kerja menjadi lebih stabil dan mampu bekerja dengan tumpuan yang lebih baik. Ini termasuk pekerja yang menjaga ibu bapa uzur, pekerja yang mengurus anak kecil, dan pekerja yang menyokong ahli keluarga kurang upaya.
Kesan makronya ialah pengurangan turnover, peningkatan daya tahan isi rumah, dan pengurangan tekanan kepada sistem kesihatan kerana penjagaan awal dan pemantauan yang baik dapat mengelakkan komplikasi. Dalam erti kata yang mudah, industri penjagaan ialah infrastruktur sosial yang menyokong ekonomi negara.
Penjagaan Tidak Lagi Bergantung Pada Keluarga
Dalam budaya tempatan, penjagaan sering dikaitkan dengan tanggungjawab keluarga. Nilai ini penting dan wajar dihormati. Namun, dalam realiti demografi dan ekonomi moden, meletakkan penjagaan sepenuhnya pada keluarga tanpa sokongan sistem adalah pendekatan yang tidak mampan.
Struktur keluarga berubah, keperluan penjagaan meningkat, dan tuntutan kerja semakin kompleks. Dalam situasi ini, keluarga yang cuba menanggung segalanya sendiri akan berisiko mengalami tekanan masa, tekanan kewangan, dan tekanan emosi.
Pada tahap tertentu, tekanan ini mempengaruhi kesejahteraan generasi yang berbeza, kerana penjaga biasanya berada dalam fasa produktif, manakala penerima penjagaan berada dalam fasa yang memerlukan sokongan berterusan.
Apabila negara menuju masyarakat menua, penjagaan perlu diangkat daripada isu domestik kepada isu struktur. Ini tidak bermaksud menghapuskan peranan keluarga, tetapi memperkukuh keluarga dengan sokongan perkhidmatan yang berkualiti, mudah dicapai, dan mampu milik.
Kekuatan keluarga dalam era menua bukan pada “menanggung semuanya”, tetapi pada kebolehan membuat keputusan dengan akses kepada sokongan yang betul.
Lebin Mampan, Penjagaan Berasaskan Komuniti & Rumah
Industri penjagaan yang mantap tidak bermula dan berakhir pada institusi. Institusi ada peranan, tetapi sistem yang seimbang mesti memberi penekanan kepada penjagaan berasaskan komuniti dan rumah. Pendekatan ini memberi dua manfaat utama.
Pertama, ia membantu penerima penjagaan kekal dalam persekitaran yang biasa, yang lazimnya lebih baik untuk kestabilan emosi dan kualiti hidup. Kedua, ia mengurangkan tekanan kepada hospital dan klinik, kerana sebahagian keperluan penjagaan harian boleh dipenuhi melalui pemantauan dan sokongan komuniti.
Dalam pendekatan ini, konsep seperti pusat jagaan harian komuniti, penjagaan di rumah secara profesional, sokongan rehabilitasi yang mudah diakses, dan penyesuaian kediaman untuk keselamatan menjadi komponen penting.
Penjagaan berasaskan komuniti bukan konsep idealistik, ia strategi sistem. Ia menukar penjagaan daripada reaktif kepada proaktif, daripada bergantung pada krisis kepada bergantung pada pemantauan dan sokongan yang berterusan.
Tenaga Kerja Penjagaan Mesti Dimartabatkan
Industri penjagaan tidak boleh berkembang tanpa tenaga kerja penjagaan yang mencukupi dan berkualiti. Namun pekerjaan penjagaan sering dipandang rendah walaupun ia memerlukan kemahiran, pengetahuan asas kesihatan, ketahanan emosi, dan etika yang tinggi.
Jika pekerjaan penjagaan dibayar rendah, latihan tidak standard, dan perlindungan pekerjaan lemah, sektor ini akan berdepan dua masalah serentak, iaitu kekurangan tenaga kerja dan penurunan kualiti perkhidmatan.
Jika Malaysia mahu membina industri penjagaan sebagai sektor yang kukuh, pekerjaan penjagaan perlu dimartabatkan melalui latihan yang tersusun, pengiktirafan kemahiran, laluan kerjaya yang jelas, serta pemantauan kualiti perkhidmatan.
Ini bukan semata-mata isu kebajikan pekerja. Ia isu keselamatan dan maruah penerima penjagaan, serta isu kepercayaan keluarga yang bergantung pada perkhidmatan penjagaan. Industri penjagaan yang rapuh akan memerangkap keluarga dalam dilema, manakala industri penjagaan yang berkualiti akan memberi ketenangan dan kestabilan.
Teknologi Membantu Bukan Menggantikan
Dalam era digital, teknologi boleh membantu industri penjagaan bergerak dengan lebih cekap, tetapi teknologi tidak boleh menggantikan dimensi manusia dalam penjagaan. Teknologi yang paling berguna dalam industri penjagaan ialah teknologi yang mengurangkan beban pengurusan rutin, mempercepat akses kepada nasihat kesihatan, dan meningkatkan keselamatan.
Ini termasuk telekesihatan, peringatan ubat, sistem rekod yang lebih tersusun, dan alat pemantauan asas untuk mengesan perubahan awal.
Namun teknologi hanya berkesan jika ia mudah digunakan dan boleh diakses. Jika tidak, teknologi menjadi kemudahan untuk segelintir, manakala majoriti terus terbeban. Oleh itu, inovasi dalam industri penjagaan mesti bergerak seiring dengan literasi digital, reka bentuk mesra pengguna, dan strategi keterjangkauan. Prinsipnya jelas, teknologi perlu memperluas akses, bukan menambah jurang.
Pembiayaan Penjagaan dan Risiko Kemiskinan Penjagaan
Satu cabaran utama industri penjagaan ialah pembiayaan. Penjagaan yang diperlukan untuk tempoh panjang boleh menekan kewangan isi rumah, terutama apabila kos rawatan bertambah dan masa kerja penjaga berkurang.
Keadaan ini mewujudkan risiko yang boleh digambarkan sebagai kemiskinan penjagaan, iaitu keluarga jatuh dalam tekanan kewangan bukan kerana kegagalan mengurus, tetapi kerana kos dan tuntutan penjagaan yang berpanjangan.
Dalam masyarakat menua, risiko ini cenderung meningkat jika struktur pembiayaan dan perlindungan sosial tidak diperkukuh. Maka, perbincangan industri penjagaan perlu merangkumi soal akses mampu milik, mekanisme sokongan, dan reka bentuk bantuan yang memastikan penjagaan tidak menjadi punca kerentanan ekonomi.
Negara yang bersedia untuk masyarakat menua ialah negara yang mengurus pembiayaan penjagaan secara sistemik, bukan secara ad hoc.
Ukuran Kemajuan yang Lebih Manusiawi
Industri penjagaan bukan isu sampingan. Ia akan menjadi salah satu ukuran utama kematangan sosial dan ekonomi Malaysia apabila negara semakin menua. Negara yang benar-benar maju bukan hanya negara yang mengejar pertumbuhan, tetapi negara yang memastikan rakyatnya dapat menua dengan bermaruah, dan keluarga yang menjaga tidak rebah dalam diam.
Dalam erti kata yang paling jujur, industri penjagaan ialah soal maruah manusia. Ia menentukan cara kita melayan yang rapuh, cara kita menyokong yang menjaga, dan cara kita mengekalkan keseimbangan antara tuntutan ekonomi dengan nilai kemanusiaan.
Jika Malaysia mahu bersedia menghadapi masyarakat menua, industri penjagaan mesti dibina sebagai ekosistem yang tersusun, berkualiti, dan boleh dicapai. Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pembuat dasar, penyedia perkhidmatan, majikan, komuniti, dan keluarga. Tujuannya bukan untuk menggantikan peranan keluarga, tetapi untuk menguatkan keluarga dengan sistem yang berfungsi.
Apabila penjagaan disusun sebagai satu ekosistem, ia tidak lagi dilihat sebagai beban yang memecahkan, sebaliknya menjadi struktur yang menstabilkan. Dan apabila struktur itu stabil, ekonomi juga lebih stabil, kerana ekonomi yang kukuh tidak wujud tanpa manusia yang dijaga.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Nurza Mohamed Yusoff
Pensyarah Fakulti Ekonomi
Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
e-mel: nurza@uis.edu.my