SUNGAI PETANI, 11 Februari – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah berkuat kuasa 7 Februari lalu.
Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar, hasil kesepakatan dalam gabungan tersebut.
Sebagai langkah awal, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN) Kedah bagi membincangkan penganjuran Konvensyen Perpaduan Kedah di Sungai Petani, yang dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta.
"Pertemuan baru-baru ini memberi ruang kepada kami untuk membincangkan bagaimana PH Kedah boleh berperanan sebagai pembangkang yang kredibel dan efektif, serta pada masa sama mempersiapkan diri sebagai 'government in waiting',” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Prospek Sempena Hari Thaipusam dan Lawatan Kerja ke Penjara Sungai Petani pada Selasa.
Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen Kedah pada pilihan raya akan datang, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata perkara tersebut akan dibincangkan bersama kepimpinan parti.