PUTRAJAYA, 14 November – Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun hadapan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya kini sedang melaksanakan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan serta menyediakan kertas konsultasi awam bagi mendapatkan maklum balas daripada masyarakat.
"Untuk Malaysia berkembang maju dan kekal berdaya tahan terhadap perubahan iklim, tadbir urus memainkan peranan yang sangat penting," katanya ketika berucap melancarkan IOI Sustain Roadmap 2030 (ISR2030), di sini.
Tambah Nik Nazmi, rang undang-undang tersebut bertujuan untuk memperkukuh kelestarian alam sekitar dan menyediakan peluang perniagaan, termasuk akses ke pasaran yang mengutamakan kelestarian.
Beliau turut menggalakkan sektor swasta dan awam untuk melayari laman web kementerian bagi melihat draf serta kertas kerja yang telah disediakan untuk mendapatkan pandangan awam.