
PUTRAJAYA, 5 Januari – Kerajaan akan mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua parti politik berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU), bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
- Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan ketua parti politik untuk mendapatkan sokongan pindaan RUU hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
- RUU itu memerlukan pindaan Perlembagaan dan dibincangkan bersama Peguam Negara serta kajian oleh BHEUU sebelum dibentangkan.
- Had tempoh dicadangkan: tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, hanya terpakai kepada Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu memerlukan pindaan Perlembagaan yang mana perkara itu akan dibincangkan bersama Peguam Negara.
“Saya kena berhadapan dengan semua ketua parti supaya kita dapat lebih dua pertiga. Setakat ini, belum (jumpa) sebab Perdana Menteri baru sebut tadi.
“Apabila semua sudah sedia, saya akan buat (pertemuan) dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 hari ini.
Menurut Azalina, RUU berkenaan tidak melibatkan jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar, sebaliknya hanya terpakai kepada Perdana Menteri sahaja.
Katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah menjalankan pelbagai kajian bagi meneliti pelaksanaan RUU berkenaan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
Datuk Seri Anwar berkata, RUU itu antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.