PASIR MAS, 6 November- Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) melecur manakala ibunya pengsan apabila kediaman mereka di Kampung Alor Pasir, Pasir Mas, Kelantan, terbakar malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Ismadi Mohamad Taib berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9.56 malam itu melibatkan tiga buah rumah.
Dua jentera serta masing-masing satu water tanker dan EMRS dengan kekuatan 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas serta bantuan daripada bomba Rantau Panjang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan menerusi system MERS 999.
Hasil siasatan mendapati tiga buah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 60x40 kaki persegi terbakar sebanyak 90 peratus, manakala lima buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan empat motosikal milik penghuni turut hangus dalam kejadian itu.
Mangsa, Noor Riza Mat Zain, 55 tahun pengsan manakala anak lelakinya, Ahmad Lutfir Rahman Pakerdin, OKU berusia 26 tahun melecur tangan kiri.
Lelaki berkenaan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Lati, Pasir Mas.