KUALA TERENGGANU, 26 Jun- Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu (RTM Terengganu) menjadi tuan rumah bagi Program Karnival Sunnah Zon Timur 2.0 yang sedang berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Penganjuran kali kedua di Pantai Timur itu melibatkan penyertaan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Menurut Pengarah Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor, karnival kali ini turut menampilkan program Jom Santai Syahmi Sazli sebagai rakan strategik.
“Program ini bersama Syahmi Sazli bermula sejak semalam. Syahmi hadir bersama artis jemputannya, manakala RTM Terengganu juga membawa artis sendiri. Kolaborasi ini saya harap dapat memberikan ‘wow factor’ dalam bidang penyiaran dan kepada semua pihak terlibat,” katanya.
Pengarah Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor
Lebih 100 penyertaan mengambil bahagian melalui gerai jualan, pameran dan pelbagai aktiviti yang mengetengahkan serta mempromosikan nilai-nilai sunnah dalam kehidupan seharian.
Antara acara yang diadakan termasuk Forum Perdana Ehwal Islam, pertandingan memasak, pertandingan mewarna dan mencanting batik serta busana cilik Islamik.
Sementara itu, Penerbit Karnival Sunnah Zon Timur 2.0, Farah Fauzi, berkata kolaborasi tiga stesen penyiaran dalam zon timur itu turut dimanfaatkan untuk pelancaran sebuah rancangan radio berwajah baharu.
“Sempena karnival ini, tiga stesen terlibat mengambil keputusan untuk menjenamakan semula rancangan radio yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Tiara Mesra’. Nama baharu ‘Cerita Pantai Timur’ akan dilancarkan di studio kami pada Sabtu ini,” jelasnya.
Penerbit Karnival Sunnah Zon Timur 2.0, Farah Fauzi
Program selama empat hari itu dijangka berakhir pada Ahad ini dan dijangka menarik pengunjung dari seluruh negeri Pantai Timur.