fb fb fb fb fb

RTM sambut baik hasrat kerajaan sebagai medium untuk calon PRU DUN Johor berkempen

JOHOR BAHRU, 29 Januari - Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menyambut baik hasrat kerajaan yang mahu RTM menjadi salah satu medium kempen untuk calon-calon bakal bertanding semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Johor.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata RTM juga sudah bersedia memberi liputan mengikut dasar-dasar ditetapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Kita akan benarkan, dengan syarat dia tidak mengganggu sensitiviti dan dasar-dasar kementerian dan kita akan pastikan ia dilakukan dalam suasana harmoni selari dengan hasrat Yang Berhormat Menteri," kata Che Roslan kepada media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Penyiaran bersama kakitangan RTM Johor.

Tambahnya, RTM sudah merangka pelan liputan PRU DUN Johor dalam bentuk berita dan bukan berita antaranya dalam Selamat Pagi Malaysia dan Bicarawara.

Liputan ‘grandstand’ juga akan dibuat semasa proses pilihan raya tersebut.

Dalam pada itu, Che Roslan turut memaklumkan RTM meletakkan sasaran hasil pendapatan keseluruhan bagi tahun ini adalah sebanyak RM100 juta.

Sokongan RTM negeri amat penting dalam merealisasikan sasaran itu, memandangkan RM20 juta daripadanya disasarkan menerusi platform radio.

Justeru Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud mahu RTM memainkan peranan mempromosikan pakej-pakej iklan untuk mencapai hasrat itu.

"Saya sudah maklumkan kepada bahagian promosi untuk kita lihat kembali insentif yang kita boleh beri atau perkara-perkara lain. Kita mahu galakkan penglibatan orang ramai menyiarkan iklan menerusi RTM," tambahnya.

Jelasnya, sasaran itu supaya RTM memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

Media Baharu