KUALA NERUS, 14 November – Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) terus memperkasakan kandungan digital menerusi inisiatif kerjasama terbaharu dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat.
Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan RTM, Reza Shariman Othman berkata kandungan penyelidikan yang dihasilkan oleh UMT akan disiarkan di platform digital RTM klik dalam bentuk siaran pendek.
Langkah ini bertujuan memasyarakatkan STEM dengan memanfaatkan keupayaan siaran tanpa sempadan yang ditawarkan oleh RTM.
Menurut Reza, jalinan kerjasama itu bertujuan memperluaskan capaian bahan penyelidikan kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.
“Kami berharap kandungan UMT boleh disiarkan di platform OTT RTM klik dalam bentuk siaran pendek yang berfaedah kepada masyarakat. Ini merupakan satu cara untuk memasyarakatkan sains dan penyelidikan dalam kehidupan harian,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan ke UMT, di sini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMT, Profesor Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata perkongsian kepakaran dalam bidang sains dan marin oleh universiti itu berpotensi menarik minat lebih ramai pelajar terhadap bidang STEM.
“Untuk masa hadapan, kami akan mengumpulkan bahan siaran yang tersedia serta merancang strategi penyampaian secara tersusun bagi memastikan sasaran yang jelas dan segmen penonton yang tepat.
"Ini adalah antara kepakaran yang dimiliki oleh UMT dan apa yang RTM boleh tawarkan,” katanya.