LABUAN, 26 Jun- Jabatan Penyiaran Labuan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Asas Pertolongan Cemas, bertujuan memberi kefahaman dan meningkatkan pengetahuan kakitangan dalam menghadapi situasi kecemasan.
Timbalan Pengarah RTM Labuan, Howard Martin Kim Sung berkata, kakitangan jabatan turut didedahkan dengan ilmu berkaitan aspek pencegahan, pemadaman dan penyelamatan ketika berdepan situasi kecemasan.
Langkah itu bagi memastikan setiap kakitangan mengetahui teori kebakaran, garis panduan prosedur kecemasan serta penggunaan alat pemadam api.
"Sentiasa bersiap sedia untuk menangani atau menghadapi bencana seperti kebakaran yang tidak diingini, lebih-lebih lagi sekiranya berlaku sesuatu seperti kecederaan. Asas pertolongan cemas dapat digunakan untuk membantu rakan-rakan atau mangsa yang terlibat dalam insiden tidak diingini akibat kebakaran," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Asas Pertolongan Cemas yang diadakan di perkarangan Laman Padian LABUANfm.
Menurut beliau, pihak jabatan akan terus berusaha meningkatkan prosedur sistem kawalan kecemasan jabatan, di samping mengambil inisiatif untuk menubuhkan Emergency Response Team (ERT) RTM Labuan.
Sementara itu, pihak jabatan turut melaksanakan simulasi latihan penyelamatan kebakaran bagi mendedahkan kakitangan kepada kemahiran praktikal dan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi sebenar.