JOHOR BAHRU, 5 Mac- Pelbagai program bakal dilaksana Jabatan Penyiaran Negeri Johor, sepanjang Ramadan nanti.
Ia termasuk menjadi tuan rumah sempena penutup Jelajah Ramadan 2024, yang akan dilangsungkan di stesen minyak di Bandar Seri Alam, Johor Bahru, pada 30 Mac ini.
Pengarah Penyiaran Negeri Johor, Azman Hashim berkata, Jelajah Ramadhan itu bermula di Kuala Terengganu, Terengganu pada 10 Mac, yang bakal menghimpunkan pendengar dan penyampai, sekali gus merapatkan ukhwah antara satu sama lain.
Selain itu, program Yok Jajan Raya juga akan diadakan bermula pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Kita akan pilih pendengar-pendengar yang telah kita senarai pendek untuk kita pergi ke rumah mereka untuk menyantuni mereka dan berhari raya bersama mereka, yang itu kita akan adakan pada minggu pertama Hari Raya dan seterusnya dalam tempoh bulan Syawal kita akan pergi beraya ke rumah-rumah pendengar kita yang terpilih,"katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan RTM Johor di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, Johor Bahru, Johor.