fb fb fb fb fb

RTM, BERNAMA media rasmi Kepengerusian ASEAN 2025

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 25 Oktober- Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) merupakan media penyiar utama bagi Kepengerusian ASEAN 2025.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil RTM bakal bertindak sebagai penyiar rasmi manakala BERNAMA akan memainkan peranan sebagai agensi media utama yang menyelaras aspek media sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 tersebut.

"Saya percaya dengan pemilihan RTM dan juga BERNAMA ini bagi mesyuarat. Siri mesyuarat ASEAN yang akan diadakan sepanjang tahun 2025 rakan-rakan media sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa akan dapat diselaras dengan lebih baik memastikan maklumat tepat dapat disampaikan pihak Kementerian Komunikasi khusus melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mingguan Kementerian Komunikasi yang diadakan di sini.

MCMC juga diarahkan untuk membantu dalam memastikan semua lokasi-lokasi mesyuarat ASEAN 2025 di seluruh negara dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi.

Dalam pada itu pengiktirafan Malaysia sebagai rakan negara dalam BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan) membuka peluang untuk negara meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala antara negara dalam blok itu.

Fahmi berkata, kerajaan menyambut baik penerimaan BRICS terhdap Malaysia bersama-sama 12 negara lain sebagai rakan rasmi.

"Semestinya kita mengalukan penerimaan Malaysia sebagai sebahagian dari negara rakan kongsi dalam konteks BRICS.

"Ini akan memberi peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan antara negara-negara yang berada dalam BRICS," katanya.

Terdahulu, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI