fb fb fb fb fb

RMK13: Inisiatif Pendapatan Rakyat akan diteruskan - Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

IPOH, 25 November - Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) khususnya Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang bermula dari tahun 2026 hingga 2030.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dan berkala bagi membantu mengeluarkan rakyat dari garis kemiskinan selain membantu memastikan keterjaminan makanan negara.

Bagaimanapun katanya, projek berkenaan bergantung kepada kesediaan kerajaan negeri untuk menyediakan tanah yang diperlukan.

"Tanah ni kebanyakannya adalah tanah milik kerajaan negeri. Jadi, lebih banyak kerajaan negeri memberikan tanah, lebih cepat kami kembangkan dan buat masa sekarang saya lihat ada penerimaan yang baik oleh rakyat dan juga masyarakat dah mula faham dan kerajaan negeri pun lebih ramai yang tampil untuk menawarkan tanah."

Jelas beliau lagi, peruntukan yang sewajarnya akan diberikan apabila tanah-tanah tersebut diserahkan kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus sempena dengan RMK13 bersama kerajaan negeri Perak di sini.

Tambahnya, selain IPR-INTAN, Kementerian Ekonomi juga mahu meneruskan IPR Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang bergantung kepada kesediaan pemilik premis untuk membenarkan mesin layan diri di tempat mereka.

Trainee2