KUALA LUMPUR, 11 November - Sebanyak RM15.5 bilion berjaya dikutip dan dirampas dalam usaha memerangi ketirisan hasil negara, rasuah dan penyeludupan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi rampasan tunai, harta, saham dan barangan yang berasal daripada kegiatan jenayah ekonomi yang berlarutan selama bertahun-tahun.
Kejayaan itu menunjukkan keberanian dan ketegasan pasukan berkenaan, terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berjaya mengesan dan menumpaskan lebih 20 kes besar melibatkan syarikat dan individu berpengaruh sejak penghujung 2023.
"Pertama saya katakan, pasukan khas pelbagai agensi ini ditubuhkan dengan mandat penuh. No compromize to smugling dan scammers.
"Dulu semua bekerja silo...SPRM asing, LHDN, PDRM, KPDN. Saya kata gabungkan semua, share maklumat, ambil tindakan yang tegas tanpa kira pengaruh dan kedudukan.
"Kartel-kartel besar, kes-kes penyeludupan besar, syarikat-syarikat scammer yang beroperasi puluh tahun dan diketahui, tetapi tidak berani ambil tindakan kerana mereka terlalu kuat, terlalu berpengaruh dan banyak dana", katanya.
Datuk Seri Anwar turut menekankan pendirian kerajaan dibawah pimpinannya yang tidak berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk salah laku jenayah seperti penipuan dan penyeludupan.
"Ini tidak mudah. Dia bertempur dengan syarikat-syarikat besar, kartel-kartel berpengaruh, bukan sahaja di Malaysia tapi di rantau ini. Dia memerlukan dokongan dan tekad politik yang tegas.
"Sebab itu dari akhir tahun 2023 sehingga 2025, kita dapat elakkan daripada ketirisan, rasuah, penyeludupan, itu RM15.5 bilion...bayangkan, maknanya ketirisan itu berlaku begitu banyak.
"Ini adalah jumlah yang sangat besar. Sebahagiannya adalah hasil daripada tindakan tegas terhadap kegiatan penyeludupan dan penyelewengan yang sudah lama berlaku di negara ini," kata beliau dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Pernyataan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Jelasnya lagi, sepanjang tempoh dua tahun sejak 2023, SPRM berjaya mengutip hasil rampasan sebanyak RM8 bilion hasil daripada penyiasatan terhadap kes-kes rasuah. Manakala PDRM berjaya menyita hampir RM4 bilion daripada sindiket jenayah terancang.
JKDM pula merampas RM2.5 bilion daripada kes penyeludupan haram dan KPDN bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia mencatatkan kutipan mencecah RM1 bilion daripada penalti terhadap syarikat-syarikat yang melanggar undang-undang perdagangan.
Sehingga kini, lebih 20 pendakwaan telah dimulakan dan kerajaan akan terus memperkenalkan langkah-langkah keselamatan terkini, seperti pengimbas kargo, kamera badan, dan pengawasan digital bagi memastikan sindiket penyeludupan tidak dapat beroperasi sewenang-wenangnya.