
SEPANG, 13 Januari – Dalam usaha mengurangkan jejak karbon dan kesan gas rumah hijau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil inisiatif membina RIMBA, sebuah ruang khas yang menempatkan tumbuhan hijau serta binaan artistik bertemakan flora dan fauna.
- RIMBA diwujudkan di KLIA untuk menambah kawasan hijau dan menyokong kelestarian alam sekitar.
- Kemudahan itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan psikologi dan pengalaman tetamu bertaraf dunia.
- Pemantauan, penyelenggaraan dan tanggungjawab pengguna diperlukan bagi memastikan manfaat berterusan.
Menurut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, kepesatan pembangunan serta gaya hidup yang semakin pantas menuntut pendekatan baharu dalam memastikan keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif RIMBA ini membuktikan bahawa kita peduli tentang kesejahteraan psikologi dan keselesaan mereka. Kita mahu setiap tetamu merasa dialu-alukan dengan kemudahan yang berkelas dunia.
“Kita perlukan lebih banyak kawasan hijau dan usaha memelihara alam sekitar bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sebuah majlis pelancaran RIMBA di Sepang.
Menurut Datuk Seri Wan Azizah, KLIA bukan sekadar kompleks penerbangan, sebaliknya berperanan sebagai pintu masuk utama negara yang membentuk persepsi awal pelawat antarabangsa terhadap Malaysia, khususnya di Bangunan Satelit.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada KLIA atas kecemerlangan di peringkat antarabangsa, termasuk dalam kategori ‘international connectivity dan service quality’, yang menyaksikan lapangan terbang itu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek pemantauan, penyelenggaraan serta penambahbaikan berterusan perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kemudahan RIMBA diyakini mampu memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan semua pengguna digesa memainkan peranan dengan menjaga serta menggunakannya secara bertanggungjawab”, katanya.