
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Ribuan pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 3.00 pagi bagi menyaksikan kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang berlangsung penuh warna-warni hari ini.
- Penyertaan besar: 10,819 peserta daripada 77 kontinjen dan 112 haiwan perkhidmatan memeriahkan perbarisan.
- Tarikan utama termasuk 11 kereta berhias, 22 pasukan pancaragam serta 328 aset darat, laut dan udara dipamerkan.
- Penyertaan 22 unit kenderaan elektrik mencerminkan aspirasi mobiliti lestari dan sambutan menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
Walaupun suasana masih gelap, orang ramai tetap hadir seawal pagi demi mendapatkan lokasi terbaik untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan yang menjadi antara pengisian utama sambutan saban tahun.
Sambutan kali ini menyaksikan penyertaan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain kehadiran 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan yang turut memeriahkan acara perbarisan.
Antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah 11 kereta berhias, 22 pasukan pancaragam serta 328 aset darat, laut dan udara yang dipamerkan kepada orang ramai.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan 22 unit aset kenderaan elektrik (EV) yang mencerminkan aspirasi negara ke arah pembangunan mobiliti yang lebih lestari.
Kehadiran ribuan rakyat sejak awal pagi bukan sahaja menyemarakkan suasana sambutan, malah mencerminkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara yang terus subur dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 sekali gus menjadi wadah menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang dalam meraikan sejarah, identiti serta semangat kebersamaan sebagai sebuah negara merdeka.