Lebih 20,000 banjiri Stadium Kajang semarak Hari Kebangsaan Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari/Foto RTM

KAJANG, 31 Ogos – Lebih 20,000 rakyat membanjiri Stadium Kajang malam tadi bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung meriah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Besar menyeru keyakinan berasaskan ilmu, fakta dan maklumat tepat untuk menghadapi cabaran semasa.
  • Seruan kesiapsiagaan menghadapi cabaran baharu termasuk geopolitik, hubungan antarabangsa, isu kenegaraan, perpaduan dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan.
  • Sambutan bertema Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati menampilkan perbarisan 69 kontinjen, pertunjukan payung terjun, laungan Merdeka, bunga api dan persembahan artis.
  • Majlis menyaksikan penganugerahan Tokoh, serta sumbangan kepada veteran ATM dan PDRM sebagai penghargaan kepada perkhidmatan mereka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan pada sambutan itu, menegaskan keyakinan rakyat yang berasaskan ilmu, fakta dan maklumat tepat penting bagi mendepani pelbagai cabaran semasa.

“Selagi kita mampu menyemai semangat keyakinan yang berasaskan fakta dan data, tidak dibelenggu ketakutan dan fitnah serta diangkat dengan semangat kebebasan, kita mampu membebaskan diri daripada kekusutan pemikiran dan menjadi sebuah bangsa serta negara yang matang dan maju.

“Kita juga perlu bersedia menghadapi cabaran baharu. Sama ada cabaran geopolitik, hubungan antarabangsa, isu kenegaraan, perpaduan, kemunculan kuasa baharu mahupun perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan atau AI.

“Saya percaya dengan keyakinan berasaskan ilmu, keberanian, adab dan akhlak yang baik, kita mampu menjadi masyarakat yang bersedia menerima kelemahan dan mengangkat kekuatan. Kita perlu bersedia berusaha membentuk perpaduan antara rakyat,” katanya dalam ucapan Hari Merdeka di sini.

Bertemakan “Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat selain menampilkan pelbagai acara menarik sempena bulan kemerdekaan.

Antara acara yang mencuri perhatian ialah perbarisan dan perarakan membabitkan 69 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan, jabatan negeri dan daerah, badan berkanun, sektor swasta serta pasukan beruniform.

Turut menjadi tumpuan ialah pertunjukan payung terjun membabitkan enam penerjun VAT 69 Komando dari ketinggian 4,500 kaki sambil membawa Jalur Gemilang, bendera Selangor dan bendera pasukan keselamatan.

Sambutan turut diserikan dengan laungan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali, pertunjukan bunga api serta persembahan artis tanah air.

Antara artis yang menghiburkan pengunjung ialah Datuk Awie, Datuk Ramli Sarip, Gerhana Ska Cinta dan Ukays, selain persembahan khas badan beruniform serta pelbagai gimik.

Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa Anugerah Tokoh, termasuk Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor, selain sumbangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.