
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Reformasi menyeluruh dilaksanakan oleh Tabung Haji (TH) ketika ini penting dalam memperkukuh tadbir urus, pengurusan risiko serta memastikan amanah pendeposit terpelihara dalam tempoh jangka panjang.
- Perkukuh tadbir urus dengan ahli Lembaga berpengalaman, menekankan integriti, akauntabiliti, profesionalisme, ketelusan dan tanggungjawab terhadap pendeposit.
- Perkukuh proses membuat keputusan pelaburan melalui penilaian dan semakan berlapis termasuk aspek komersial, risiko, pematuhan syariah dan perundangan.
- Tingkatkan kawalan dalaman, disiplin kewangan serta pengurusan risiko termasuk aset, liabiliti, kecairan dan komitmen kewangan TH.
Pakar Ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata reformasi itu tidak hanya melibatkan perubahan struktur organisasi, malah merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan risiko pematuhan, kawalan dalaman, ketelusan serta pengurusan kewangan dan pelaburan.
“Selepas ini, TH perlu menekankan integriti, akauntabiliti, profesionalisme, ketelusan dan tanggungjawab pendeposit.
“Pada masa sama, ahli Lembaga TH pula perlu terdiri daripada mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran khususnya sektor kewangan dan operasi TH,” katanya ketika dihubungi RTM di sini.
Mengulas lanjut katanya proses membuat keputusan pelaburan TH perlu turut diperkukuh.
“Ia perlu melalui penilaian dan semakan berlapis dengan mengambil kira aspek komersial, risiko, pematuhan syariah serta perundangan.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap keputusan tidak bergantung kepada individu atau satu pihak semata-mata,” jelasnya.
Pada masa sama katanya penilaian pelaburan bukan sekadar berdasarkan jumlah dana yang dilaburkan, sebaliknya perlu memastikan pulangan yang diperoleh setimpal dengan risiko serta memberi sumbangan kepada keseluruhan portfolio.
Selain itu, Profesor Madya Dr Ahmed Razman turut memberi penekanan mengenai pengurusan kewangan yang lebih berdisplin dengan mengambil kira keseluruhan aset, liabliti, kecairan dan komitmen kewangan TH.