Kerajaan teliti tindakan susulan 25 syor RCI Tabung Haji

Dr Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan sedang meneliti tindakan susulan terhadap 25 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan TH; baki syor relevan sedang giat dilaksanakan.
  • Pasukan Kerja ditubuhkan untuk meneliti dan melaksana syor RCI.
  • Pelantikan kepimpinan dan anggota Lembaga TH berdasarkan integriti, kebolehan dan pengalaman fit and proper.
  • Audit forensik terhadap pelaburan bermasalah dijalankan; TH buat laporan kepada PDRM dan SPRM, siasatan penguatkuasa dimulakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, lebih 75 peratus daripada syor RCI berkenaan telah dilaksanakan TH, manakala baki syor yang relevan sedang giat dilaksanakan.

Kesemua syor RCI turut diteliti untuk dimasukkan dalam cadangan pindaan Akta Tabung Haji, termasuk berkaitan kerangka pengawasan dan pemantauan Suruhanjaya Sekuriti terhadap pengurusan dana serta pelaburan TH.

“Krisis TH tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya merupakan kesan terkumpul akibat kerakusan dan penyelewengan, kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko serta kegagalan menggambarkan kedudukan kewangan secara telus.

“Daripada laporan RCI yang boleh dirujuk secara terbuka oleh semua pihak, terdapat keseluruhannya 25 syor yang terangkum dalam lima teras utama. Saya akan menghuraikan setiap teras pengesyoran itu serta menjelaskan status dan tindakan yang telah diambil untuk makluman bersama,” katanya di Parlimen di sini hari ini.

Satu Pasukan Kerja (Task Force) sudah ditubuhkan bagi meneliti dan melaksana segala syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) ke arah usaha bagi meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan ialah pelantikan kepimpinan dan anggota Lembaga TH berdasarkan integriti, kebolehan serta pengalaman mengikut kriteria ‘fit and proper’.

Dalam aspek kewangan pula, penyata kewangan TH sejak 2018 telah menggunakan sepenuhnya piawaian perakaunan yang selaras dengan syor RCI, manakala pengumuman kadar agihan keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang diaudit dilaksanakan sejak 2022.

Mengulas audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah yang dibangkitkan RCI, Dr Zulkifli berkata TH telah melantik firma Ernst & Young serta beberapa firma guaman bagi melaksanakan analisis jurang dan cadangan penambahbaikan.

Hasil dapatan RCI, TH turut memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa membabitkan enam laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Kerajaan juga telah bersetuju supaya siasatan penuh dilaksanakan badan penguat kuasa berdasarkan dapatan RCI, dengan SPRM dan PDRM telah memulakan siasatan susulan.

Sementara itu, TH kini berada pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh hasil pelaksanaan pelan strategik, reformasi dan pengukuhan tadbir urus.

Dalam perkembangan berkaitan, TH sedang memperhalusi penambahbaikan polisi pengurusan haji, khususnya berkaitan kelayakan dan tempoh menunggu giliran haji, yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Penambahbaikan itu akan memberi penekanan kepada pelan menunaikan haji yang lebih jelas, terancang dan sistematik, selaras konsep istito’ah atau kemampuan serta kesiapsiagaan awal jemaah.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mendedahkan Laporan RCI kepada rakyat pada 29 Julai lalu dan membahaskannya buat kali pertama dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.

RCI merangkumi 25 syor dalam lima teras utama, melibatkan aspek tadbir urus, agihan keuntungan, pengurusan kewangan dan pelaburan, pelan pemulihan serta pengurusan haji.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.