AI perlu jadi pemangkin bakat, bukan hakis nilai insan – KP Penyiaran

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan untuk memperkasa kualiti insan dan bakat tempatan, selain meningkatkan mutu kandungan, produk serta perkhidmatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi mesti mengekalkan peranan manusia sebagai penggerak utama, memastikan manusia menjadi lebih baik seiring kemajuan AI.
  • Penggunaan AI perlu berlandaskan hala tuju, tujuan dan falsafah jelas, bukan sekadar ikut arus teknologi semasa.
  • Kerjasama kerajaan, industri, media dan masyarakat penting bagi memastikan AI dimanfaatkan secara etika, bertanggungjawab dan berorientasikan insan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, perkembangan pesat teknologi khususnya AI menuntut semua pihak menilai semula peranan manusia sebagai penggerak utama di sebalik penggunaan teknologi.

Menurut beliau, persoalan yang perlu diberi perhatian bukan sekadar sejauh mana teknologi mampu berkembang, sebaliknya bagaimana kemajuan itu dapat menjadikan manusia lebih baik dari semasa ke semasa.

“Semakin maju kita dari segi teknologi, adakah ia membuatkan manusia menjadi lebih baik? Itu persoalan yang sering kita bangkitkan dan mengingatkan diri kita sendiri tentang peranan sebagai insan di sebalik sesebuah mesin atau ‘the man behind the machine’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri forum Petronas Lunch Escape: Credibility In The Age Of AI – Navigating The New Frontier di ibu negara, hari ini.

Forum itu membincangkan kepentingan perbincangan berterusan antara kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), media dan masyarakat sivil dalam mendepani fasa peralihan teknologi, khususnya AI.

Ashwad berkata, penggunaan AI perlu berlandaskan hala tuju, tujuan dan falsafah yang jelas, bukannya sekadar digunakan kerana mahu mengikut perkembangan teknologi semasa.

Katanya, media, badan korporat, kerajaan, NGO dan masyarakat sivil mempunyai peranan penting dalam memastikan kemajuan teknologi bergerak seiring dengan usaha memperkukuh nilai kemanusiaan.

“Hubungan sesama insan akan menjadi semakin penting dalam era teknologi yang semakin canggih. Justeru, penggunaan AI perlu dilihat sebagai instrumen untuk memperkasakan manusia dan bukannya menggantikan nilai kemanusiaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, AI wajar dimanfaatkan untuk memperhebat bakat tempatan, di samping meningkatkan kualiti kandungan, produk dan perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa penolakan terhadap AI bukan lagi pendekatan yang sesuai dalam mendepani perubahan teknologi, sebaliknya teknologi berkenaan perlu diterima dan dimanfaatkan secara bertanggungjawab.

“Tidak boleh mengatakan tidak kepada AI. Pemikiran seperti ini kita harus tolak ke tepi. Apa yang penting ialah bagaimana AI memperhebat kualiti bakat dan insan kita,” katanya.

Forum berkenaan turut menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri, media dan masyarakat bagi memastikan AI dimanfaatkan secara beretika, bertanggungjawab serta berorientasikan manusia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.