fb fb fb fb fb

Rakyat bertanggungjawab pelihara kemerdekaan yang diwariskan oleh Tunku Abdul Rahman- PM

Datuk Seri Fadillah Yusof memukul gong sebagai simbolik perasmian Program Mengenang Negarawan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Negarawan Sejuta Jasa / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Rakyat bertanggungjawab untuk memelihara kemerdekaan yang telah diwariskan demi negara bebas dan berdaulat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia MADANI yang saling meraikan kepelbagaian tanpa sengketa.

"Kemerdekaan yang telah diwariskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hendaklah sentiasa dipelihara sepertimana yang disebut oleh Allahyarham dalam pemasyhuran kemerdekaan 67 tahun yang lalu.

"Negara kita ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya,"katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Program Mengenang Negarawan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di ibu negara.

Program bertemakan “Negarawan Sejuta Jasa” itu merupakan anjuran bersama Kementerian Perpaduan dan Arkib Negara.

Ia bagi menyemai rasa cinta masyarakat terhadap sejarah dengan mengenang sumbangan pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan serta mempertahankan kemerdekaan.

Sempena program itu juga terdapat pameran eksklusif  yang memaparkan koleksi khas Tunku seperti kereta merdeka selain peragaan bahan objek serta naratif pameran yang dipersembahkan melalui digital standee kiosk.

Turut hadir, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE