Raja Permaisuri Agong bangga pencapaian Pandu Puteri sepanjang 110 Tahun

Seri Paduka Baginda amat menghargai keteguhan semangat PPPM dalam melaksanakan pelbagai program termasuk di peringkat global – Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JITRA, 25 Januari- Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang yang diraih oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sepanjang 110 tahun penubuhannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Permaisuri Agong bangga dengan keteguhan semangat, iltizam dan usaha berterusan PPPM dalam melaksanakan program bermanfaat.
  • PPPM diharap terus memperkasa anak gadis Malaysia supaya berilmu, berwibawa dan berakhlak mulia pada usia 110 tahun.
  • Jade Camp julung kali berskala besar di PICC melibatkan 1,000 peserta menunjukkan kejayaan penganjuran program besar.
  • Program IDG dalam talian melibatkan lebih 2,000 peserta memberi impak positif kepada keselamatan digital, anti buli dan kesihatan mental.

Seri Paduka Baginda bertitah, selaku Penaung Diraja PPPM, baginda amat menghargai keteguhan semangat, iltizam dan usaha berterusan persatuan itu dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat termasuk di peringkat global.

“Melangkah ke usia ke-110 tahun ini, pihak persatuan diharap terus berdedikasi dan komited dalam memperkasa anak gadis Malaysia agar menjadi warga yang berilmu, berwibawa serta berakhlak mulia,” titah baginda.

Menurut Raja Zarith Sofiah, pelbagai pencapaian luar biasa direkodkan oleh PPPM tahun lalu, antaranya penganjuran Program Jade Camp buat julung kali dalam skala besar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang disertai seramai 1,000 anak gadis dan pemimpin.

“Program pendedahan kepada anak gadis daripada semua golongan termasuk B40 dan Orang Asli perlu diteruskan, selain memberi peluang kepada mereka meneroka pendedahan di peringkat global melalui PPPM,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2026 (GGAM World Thinking Day 2026 – Our Friendship) yang berlangsung di Dewan Wawasan, di sini, hari ini.

Selain itu, Raja Zarith Sofiah bertitah, program IDG bertemakan Girls’ Advocacy Circles: Empowering Girls’ Voices yang dilaksanakan secara dalam talian melibatkan lebih 2,000 peserta memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan digital, anti buli, kesihatan mental serta isu perkahwinan bawah umur.

Majlis tersebut turut dihadiri Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.