KUCHING, 21 September - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak hari ini melaporkan dua kes baharu rabies dalam kalangan manusia di negeri ini, dengan kedua-dua pesakit disahkan meninggal dunia pada 19 September lalu.
Jabatan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif rabies dalam kalangan manusia sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 kini sebanyak 87 kes, termasuk 80 kematian dengan kadar kematian 92 peratus.
Daripada jumlah tersebut, empat kes dilaporkan pada tahun 2025, menurun berbanding enam kes bagi tempoh sama tahun lalu.
"Kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun dari Petra Jaya, Kuching yang mempunyai sejarah dicakar kucing terbiar pada Julai lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan segera. Beliau meninggal dunia selepas dirawat di Hospital Umum Sarawak.
"Kes kedua pula membabitkan seorang suri rumah berusia 67 tahun dari Taman Desa Wira, Batu Kawa yang digigit anjing terbiar pada 30 Ogos lalu. Pesakit itu turut memelihara empat ekor haiwan peliharaan yang tidak pernah divaksin, termasuk seekor anjing yang menunjukkan gejala rabies sebelum mati," menurut kenyataan tersebut.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 13 September tahun ini, sebanyak 13,894 kes gigitan haiwan direkodkan di Sarawak dengan purata 375 kes seminggu.
Sehubungan itu, JKN Sarawak mengingatkan orang ramai bahawa negeri ini masih belum bebas daripada wabak rabies dan menegaskan penyakit itu boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan mamalia yang dijangkiti, terutamanya anjing dan kucing.
"Orang ramai diseru agar sentiasa berwaspada, mengambil langkah pencegahan sewajarnya serta memastikan haiwan peliharaan divaksinasi bagi mengawal penularan rabies secara berkesan," jelas kenyataan itu lagi.