QATAR, 10 Januari - Qatar menunjukkan minat yang mendalam untuk melabur di Johor dan bersedia memperkenalkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kepada pelabur utama di negaranya.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengetuai lawatan kerja di Qatar memaklumkan, rangkaian antarabangsa Qatar membuka peluang besar untuk kerjasama strategik antara kedua-dua buah negara.
Pertemuan dengan Menteri Perdagangan Luar Qatar Dr Ahmad Al Sayed adalah sebahagian usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara Johor dan negara Timur Tengah khususnya Qatar.
Kerjasama tersebut memberi pendedahan antarabangsa kepada Johor, seterusnya membawa manfaat besar kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan dan kemudahan baharu.
Beliau berharap usaha dilakukan itu akan memajukan Johor, menjadikannya hub ekonomi yang diiktiraf di peringkat global.